Kami menyelidik semua jenama yang disenaraikan dan mungkin mendapat bayaran daripada rakan kongsi kami. Pertimbangan penyelidikan dan kewangan mungkin mempengaruhi cara jenama dipaparkan. Tidak semua jenama disertakan

Analisis IPO ORIENTAL KOPI

analisis ipo oriental kopi

Oriental Kopi Group Berhad, yang diasaskan pada 2020, telah berkembang pesat dengan 20 cawangan termasuk di Singapura, mencatatkan pertumbuhan hasil CAGR 280.89% dan keuntungan bersih 112.41% dari 2021 hingga 2024.

Dipimpin oleh Dato’ Chan Jian Chern dan pasukan pengurusan yang berpengalaman, syarikat ini merancang memperluas operasi melalui RM183.96 juta hasil IPO untuk pembukaan 14 cawangan baharu, pengembangan dapur pusat, dan pengukuhan jenama.

Walaupun terdedah kepada risiko seperti kos inflasi dan persaingan sengit, Oriental Kopi berada dalam kedudukan strategik untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan perbelanjaan isi rumah dan pemulihan pelancongan di Malaysia.

1. Tarikh Penting IPO ORIENTAL KOPI

  • Permohonan Dibuka: 6 Januari 2025
  • Permohonan Ditutup: 10 Januari 2025
  • Tarikh Undian IPO: 14 Januari 2025
  • Tarikh Saham Dipindahkan ke Akaun CDS: 21 Januari 2025
  • Tarikh Penyenaraian: 23 Januari 2025

Baca: Bagaimana Cara Memohon Saham IPO Sebagai Bumiputera?

2. Sejarah Penyenaraian dan Status

Ini adalah kali pertama Oriental Kopi Holdings Berhad disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

Konteks tambahan:

Dalam dunia IPO, ACE Market ni boleh dianggap sebagai platform untuk syarikat yang nak cari modal dengan lebih cepat tapi belum cukup besar atau matang untuk masuk Main Market.

Risiko ACE Market:

ACE Market terkenal sebagai lubuk peluang untuk saham-saham kecil yang boleh melonjak tinggi (high growth potential)—tapi risiko tetap ada. Bursa sendiri dah highlight:

  • Tiada jaminan akan ada liquid market untuk saham ni. Maksudnya, ada kemungkinan saham tak aktif didagangkan selepas disenaraikan.
  • Syarikat kecil di ACE Market lebih mudah terkesan dengan faktor luaran seperti ekonomi global, perubahan dalam dasar kerajaan, atau cabaran industri.

3. Jumlah Dagangan Saham

Jumlah saham baharu ditawarkan: 418,101,000 saham baharu. Bahagian saham ini terpecah kepada:

  • Orang awam: 60,000,000 saham (14.35%)
  • Individu terpilih: 20,000,000 saham (4.78%) – Khas untuk pengarah, pekerja, dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.
  • Private Placement:
    • Pelabur terpilih: 88,101,000 saham (21.06%)
    • Pelabur Bumiputera terpilih (diperakui MITI): 250,000,000 saham (59.81%)
  • Harga IPO: RM0.44 sesaham
  • Dana IPO yang dijangka: RM183.96 juta

4. Bisnes Model ORIENTAL KOPI

Model bisnes Oriental Kopi menunjukkan mereka sangat bergantung pada operasi kafe mereka. Tapi mereka ada potensi pertumbuhan dari segmen makanan pek dan runcit, terutamanya jika mereka berjaya memperluaskan pengedaran produk ke pasaran luar negara.

4.1 Aktiviti Utama:

  • Operasi Rangkaian Kafe: Oriental Kopi menjalankan perniagaan kafe dengan fokus pada hidangan F&B berkonsepkan masakan tempatan dan kedai kopi Nanyang (negara-negara Asia Tenggara).
  • Jualan Produk Pek Sedia Ada: Termasuk kopi pek, teh, pastri, tart telur, mi segera, dan lain-lain makanan bermusim seperti kek bulan.

Oriental Kopi Desserts Menu

 

4.2 Segmentasi Pendapatan:

  • Operasi kafe menyumbang lebih 90% daripada jumlah pendapatan untuk tempoh kajian kewangan (FYE 2021 hingga FYE 2024).
  • Segmen pengedaran makanan pek dan runcit menyumbang sekitar 4.16% pada FYE 2024, meningkat dari tahun-tahun sebelumnya.

4.3 Saluran Jualan:

  • Pengedaran langsung: Menjual terus kepada pelanggan melalui kafe, e-commerce, dan kedai khas.
  • Pengedaran tak langsung: Jualan kepada peruncit dan pengedar termasuk pasar raya, platform e-dagang (Shopee, Lazada), dan resellers.

4.4 Kehadiran Pasaran:

  • Mempunyai 19 kafe milik sendiri di Malaysia (Lembah Klang, Johor, Penang) dan 1 kafe di Singapura.
  • Kedai Runcit Khas di Johor untuk jualan makanan pek jenama Oriental.

4.5 Identiti Jenama:

  • Berkonsepkan tema retro “kopitiam” dengan elemen moden.
  • Hidangan signature seperti Oriental Coffee, Egg Tart, dan Polo Bun menjadi tarikan utama.

5. Kekuatan dan MOAT Syarikat

5.1 Diversifikasi Pendapatan:

Oriental Kopi mempunyai dua sumber pendapatan utama:

  • Operasi Rangkaian Kafe: Operasi kafe menyumbang 81.11% daripada jumlah pendapatan pada FYE 2024 (RM224.91 juta).
  • Produk Makanan Pek: Segmen ini menyumbang 17.13% daripada jumlah pendapatan pada FYE 2024 (RM47.49 juta), meningkat secara konsisten dari 2.73% pada FYE 2021.

Dengan dua segmen ini, Oriental Kopi berjaya mengimbangi risiko pendapatan dalam industri F&B yang sensitif terhadap perubahan ekonomi.

5.2 Model Bisnes yang Modular & Scalable

  • Operasi kafe berdasarkan sistem yang modular dan boleh diskalakan dengan cepat.
  • Maksud sistem modular dalam konteks Oriental Kopi adalah semua ramuan, bahan masakan, dan reka bentuk dikawal dan disedia di dapur pusat sebelum dihantar ke semua cawangan kafe. Ini membolehkan kualiti makanan tetap konsisten dan berkualiti di semua cawangan.
  • Peningkatan cawangan daripada 2 kafe pada FYE 2021 kepada 20 kafe pada FYE 2024 membuktikan kecekapan model ini.
  • Kafe baharu dapat dibuka dengan mengoptimumkan SOP dan sistem berpusat mereka, menjadikan mereka bersedia untuk ekspansi ke luar negara.

5.3 Saluran Pengedaran Langsung dan Tidak Langsung:

  • Langsung (B2C): Memberi akses kepada pelanggan melalui 20 kafe, platform e-dagang (Shopee & Lazada), dan kedai khas di Johor.
  • Tidak Langsung (B2B): Pendapatan dari resellers meningkat sebanyak CAGR 532.93% dari RM40,000 (FYE 2021) kepada RM10.14 juta (FYE 2024).

5.4 Lokasi Strategik:

  • Cawangan Oriental Kopi terletak di pusat beli-belah premium seperti Pavilion KL, TRX, Suria KLCC, dan Mid Valley Megamall.
  • Dengan lokasi strategik ini, Oriental Kopi berjaya menarik pelanggan kelas menengah dan tinggi, serta pelancong antarabangsa.
  • Peningkatan pendapatan daripada operasi kafe menunjukkan CAGR 280.89% daripada RM5.02 juta (FYE 2021) kepada RM277.28 juta (FYE 2024).

5.5 Pasukan Resepi yang Berdedikasi:

  • Oriental Kopi telah membangunkan 120 menu F&B unik, termasuk Oriental Coffee, Egg Tart, dan Polo Bun.
  • Oriental Egg Tart mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai “Egg Tart Paling Tebal di Malaysia (2021)” dan “Jumlah Egg Tart Terbanyak Dijual dalam Sehari (2022)”.
  • Polo Bun juga diiktiraf sebagai “Polo Bun Terbanyak Dijual dalam Setahun (2023)”.
  • Pasukan resepi mereka diketuai oleh chef berpengalaman lebih 29 tahun.

5.6 Operasi Milikan Sendiri:

  • Semua 20 cawangan di Malaysia adalah milikan sendiri, memastikan kawalan penuh ke atas kualiti produk dan perkhidmatan.
  • Pendekatan ini membolehkan standardisasi menu dan pengalaman pelanggan, berbanding model francais yang lebih sukar dikawal.
  • Untuk peluasan ke pasaran antarabangsa, Oriental Kopi merancang meneroka model francais dengan kawalan berpusat.

5.7 Pengurusan Berpengalaman:

  • Dipimpin oleh Dato’ Chan Jian Chern, Pengarah Urusan, dengan pengalaman 6 tahun dalam F&B. Beliau mengetuai strategi korporat dan pemasaran.
  • Koay Song Leng, Pengarah Eksekutif, mempunyai 5 tahun pengalaman dalam pengurusan outlet runcit dan logistik.
  • CFO mereka, Goh Ting Keong, membawa 27 tahun pengalaman kewangan, memastikan pengurusan tunai yang kukuh.
  • Ho Poh Chian, Ketua Chef, menyumbang pengalaman 29 tahun dalam masakan dan pembangunan produk F&B berkualiti tinggi.

6. Prestasi Kewangan dan Hutang

6.1 Pendapatan (Revenue)

Dalam fasa pertumbuhan pesat dengan kebergantungan tinggi pada operasi kafe.

  • Pendapatan Oriental Kopi berkembang pesat dari RM5.02 juta (FYE 2021) kepada RM277.28 juta (FYE 2024) dengan CAGR sebanyak 280.89% dalam tempoh 4 tahun.
  • Kafe merupakan penyumbang terbesar dengan lebih 94% daripada pendapatan (FYE 2024), manakala produk makanan pek menyumbang 17.13% (FYE 2024), menunjukkan diversifikasi sumber pendapatan yang semakin baik.
  • Pendapatan mencerminkan fasa ekspansi, terutamanya selepas pandemik, dengan permintaan yang tinggi dalam industri F&B.

6.2 Keuntungan (Profitability)

Margin stabil dan bertambah baik, menunjukkan kawalan kos yang cekap.

  • Keuntungan Bersih (PAT) meningkat daripada kerugian RM490,000 (FYE 2021) kepada RM43.13 juta (FYE 2024).
  • Margin PAT Stabil: Kekal sekitar 15.56% (FYE 2024), mencerminkan kawalan kos yang baik walaupun perbelanjaan meningkat.
  • GP Margin sekitar 29-32% dari FYE 2022 hingga FYE 2024, menunjukkan keuntungan kasar yang konsisten.

6.3 Aliran Tunai dan Hutang (Cashflow & Debt)

Kedudukan kewangan kukuh dengan hutang rendah dan tunai yang tinggi.

  • Hutang Terkawal: Jumlah liabiliti meningkat daripada RM7.06 juta (FYE 2021) kepada RM127.96 juta (FYE 2024), kebanyakannya disebabkan liabiliti sewa untuk cawangan baharu.
  • Gearing Ratio rendah pada 0.05 kali (FYE 2024), menandakan penggunaan hutang yang konservatif.
  • Cash & Bank Balances meningkat kepada RM58.96 juta (FYE 2024), menunjukkan aliran tunai operasi yang kukuh dan kecairan yang sihat.

7. Penilaian Saham dan Harga IPO ORIENTAL KOPI

7.1 Harga IPO Oriental Kopi

Oriental Kopi menetapkan harga IPO pada RM0.44 sesaham. Harga ini mencerminkan potensi pertumbuhan berdasarkan rekod prestasi kewangan syarikat yang pesat berkembang.

7.2 Earnings Per Share (EPS)

  • EPS berdasarkan saham terbitan sedia ada: 2.73 sen
  • EPS berdasarkan jumlah saham selepas IPO: 2.16 sen

7.3 Price-to-Earnings (PE) Ratio

  • PE Ratio berdasarkan EPS sedia Ada: 16.12 kali
  • PE Ratio berdasarkan EPS selepas IPO: 20.37 kali

PE ini lebih tinggi daripada purata industri F&B Malaysia (sekitar 15-18 kali), menunjukkan harga IPO mungkin sedikit premium, tetapi seiring dengan potensi pertumbuhan.

7.4 Net Asset (NA) Per Share

  • NA Per Share Selepas Penyenaraian: RM0.11 sesaham.

NA ini jauh lebih rendah berbanding harga IPO, tetapi situasi ini biasa bagi syarikat dalam fasa pertumbuhan pantas.

7.5 Pertumbuhan Pendapatan dan Keuntungan

  • Pendapatan meningkat pada CAGR 280.89% dalam 4 tahun terakhir, sementara keuntungan bersih (PAT) meningkat pada CAGR 112.41%.
  • Angka-angka ini menyokong PE premium, dengan anggapan pertumbuhan ini berterusan dalam beberapa tahun akan datang.

PE Ratio menunjukkan harga IPO berada pada paras premium berbanding purata industri, mencerminkan kepercayaan terhadap potensi pertumbuhan syarikat.

Namun, NA per share rendah memberi isyarat bahawa harga IPO lebih tertumpu kepada harapan terhadap pertumbuhan masa depan berbanding nilai semasa aset syarikat.

Anda perlu mempertimbangkan risiko jika pertumbuhan pendapatan dan keuntungan tidak dapat mengekalkan momentum yang sama selepas penyenaraian.

8. Penggunaan Dana IPO ORIENTAL KOPI

Oriental Kopi merancang untuk menggunakan dana IPO berjumlah RM183.96 juta dengan strategi yang jelas untuk menyokong pertumbuhan dan memperkukuh operasi mereka. Berikut adalah butiran terperinci:

1. Pembangunan Ibu Pejabat, Dapur Pusat, dan Gudang (29.18%)

  • Peruntukan: RM53.69 juta
  • Komponen Projek:
    • Pembelian tanah (RM9.18 juta).
    • Pembinaan bangunan 3 tingkat seluas 108,448 kaki persegi (RM30 juta).
    • Penubuhan pejabat baharu (RM6.5 juta).
    • Kelengkapan dapur pusat dan gudang (RM8 juta).
  • Objektif:
    • Meningkatkan kecekapan operasi dengan menyatukan penyediaan bahan makanan dan logistik untuk kafe.
    • Dijangka siap menjelang Q4 2026, menyokong pengembangan operasi masa depan.

2. Pengembangan Cawangan Kafe Baharu (19.79%)

  • Peruntukan: RM36.4 juta untuk membuka 14 cawangan baharu (2024-2026).
  • Rantau yang Disasarkan:
    • Semenanjung Malaysia (12 cawangan) di KL, Penang, Johor, dan lain-lain.
    • Sabah & Sarawak (2 cawangan).
  • Objektif: Memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan sambil menembusi kawasan luar bandar dan Malaysia Timur.

3. Pengembangan Segmen Produk Pek (2.72%)

  • Peruntukan: RM5 juta
  • Projek Utama:
    • Membuka 4 kedai runcit khas baharu di Malaysia antara 2025 dan 2026.
  • Objektif:
    • Meningkatkan kesedaran jenama Oriental melalui pengalaman runcit eksklusif.

4. Aktiviti Pemasaran Antarabangsa (2.99%)

  • Peruntukan: RM5.5 juta
  • Negara Fokus:
    • Singapura (RM1.5 juta): Untuk mempromosikan jenama di pasaran serantau.
    • Pasaran Lain di Asia (RM4 juta): Termasuk Hong Kong, untuk memacu diversifikasi pasaran.
  • Objektif:
    • Meningkatkan penerimaan pasaran untuk jenama Oriental Kopi dan produk makanan pek di luar Malaysia.

5. Modal Kerja (41.19%)

  • Peruntukan: RM75.78 juta
  • Butiran:
    • Kos kakitangan, sewa, dan utiliti (RM30 juta).
    • Pembelian bahan untuk perkhidmatan F&B dan segmen produk pek (RM45.78 juta).
  • Objektif: Menyokong pengembangan operasi dan menampung kos operasi tambahan.

6. Kos Penyenaraian (4.13%)

  • Peruntukan: RM7.6 juta
  • Butiran Kos:
    • Yuran profesional, penajaan, percetakan, dan lain-lain.
  • Objektif: Memastikan proses IPO berjalan lancar.

Dengan 70% dana diperuntukkan kepada pelaburan infrastruktur dan pengembangan, strategi ini menunjukkan fokus jangka panjang Oriental Kopi untuk kekal kompetitif dalam industri F&B.

9. Polisi Dividen

Oriental Kopi Holdings Berhad telah menetapkan polisi dividen yang menarik untuk para pelabur. Berikut adalah perinciannya:

1. Komitmen Dividen

  • Lembaga Pengarah bercadang untuk mengagihkan 30% daripada keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham selepas penyenaraian.
  • Namun, pengagihan dividen ini tertakluk kepada beberapa faktor seperti:
    • Keuntungan yang direkodkan.
    • Keperluan dana operasi syarikat.
    • Dana yang tidak perlu disimpan sebagai modal kerja.

2. Rekod Pembayaran Dividen Sebelumnya

  • Oriental Kopi telah menunjukkan komitmen membayar dividen dalam tempoh 3 tahun terakhir:
    • FYE 2022: Dividen sebanyak RM2.54 juta.
    • FYE 2023: Dividen sebanyak RM11.02 juta.
    • FYE 2024: Dividen sebanyak RM21 juta.

3. Polisi Dividen Selepas Penyenaraian

  • Polisi 30% ini mencerminkan usaha syarikat untuk memaksimumkan nilai kepada pemegang saham.
  • Oriental Kopi tidak mempunyai sekatan dividen buat masa ini, memberikan fleksibiliti kepada syarikat untuk memenuhi polisi ini jika keuntungan mencukupi.

4. Risiko Dividen Masa Hadapan

  • Penting untuk diingat, polisi ini bukan jaminan dan boleh berubah bergantung kepada situasi kewangan dan keperluan operasi syarikat.
  • Syarikat juga tidak memberikan jaminan mengenai pembayaran dividen pada masa depan atau tempoh pembayaran dividen.

10. Status Syariah

Diklasifikasikan tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

11. Risiko Pelaburan

11.1 Kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga

  • Isu utama: Semua bahan makanan mereka seperti produk ready-to-cook (RTC) dan ready-to-eat (RTE) bergantung sepenuhnya kepada pembekal pihak ketiga. Sebarang gangguan seperti kenaikan kos input, isu peraturan, atau penutupan pembekal boleh memberi kesan besar kepada operasi mereka.
  • Strategi mitigasi: Mereka ada beberapa pembekal alternatif, tetapi proses kelulusan untuk pembekal baharu ini mungkin mengambil masa dan boleh menyebabkan kehilangan pelanggan jika kualiti berkurang.

11.2 Kepekaan kepada trend pengguna

  • Cabaran: Bisnes F&B mereka sangat bergantung kepada selera dan trend pengguna yang berubah-ubah, seperti permintaan makanan sihat, bahan halal, atau inovasi dalam citarasa. Contohnya, kenaikan kos atau perubahan keutamaan pengguna boleh menyebabkan pelanggan beralih ke jenama lain.
  • Peluang: Brand equity yang kuat adalah penting untuk menangani cabaran ini, dan mereka telah mencuba memastikan jenama Oriental Kopi kekal relevan di pasaran.

11.3 Kadar pertumbuhan tidak konsisten

  • Walaupun mencatatkan pertumbuhan CAGR revenue 280.89% dan gross profit 586.40% (2021-2024), mereka tidak boleh memberi jaminan prestasi ini akan berterusan kerana persaingan, isu pengurusan dalaman, dan cabaran persekitaran perniagaan seperti inflasi.

11.4 Tekanan inflasi dan kenaikan kos

  • Dari 2021-2023, CPI (Indeks Harga Pengguna) untuk makanan meningkat pada kadar CAGR 5.3% hingga 6.7%. Mereka menghadapi risiko kehilangan pelanggan jika kenaikan kos ini dipindahkan kepada pengguna. Sebaliknya, mereka akan menanggung kerugian jika menyerap kos ini sendiri.

11.5 Risiko lokasi dan sewaan

  • Fakta: 16 daripada 17 kafe mereka terletak di pusat beli-belah. Sebarang perubahan dalam kadar sewa, penamatan perjanjian, atau penurunan trafik di pusat membeli-belah boleh memberi kesan langsung kepada prestasi mereka.
  • Pada masa ini, kos sewa menyumbang 11.11% daripada revenue tahun 2024.

11.6 Risiko liabiliti produk dan tuntutan pengguna

  • Perniagaan mereka terdedah kepada risiko produk seperti pencemaran makanan, penggunaan bahan haram, atau tuntutan undang-undang oleh pengguna.
  • Kes terdahulu: Pada September 2023, mereka dikenakan penalti RM2,750 kerana pelanggaran standard kebersihan di cawangan KLIA. Walaupun tidak memberi kesan besar, ini memberi petunjuk tentang cabaran operasi.

11.7 Kekurangan tenaga kerja

  • Mereka bergantung kepada 257 pekerja asing untuk operasi kafe. Perubahan dasar kerajaan, seperti pembekuan pekerja asing, boleh menjejaskan operasi mereka.
  • Kos buruh menyumbang 17-19% daripada jualan (2021-2024), yang menunjukkan pendedahan tinggi kepada kenaikan gaji.

11.8 Risiko bencana atau pandemik

  • Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada trafik walk-in kafe mereka, dan risiko ini kekal relevan di masa hadapan.

11.9 Kebergantungan kepada pengurusan

  • Mereka sangat bergantung kepada Dato’ Chan Jian Chern dan pasukan eksekutifnya. Sebarang perubahan dalam kepimpinan boleh menjejaskan strategi dan operasi syarikat.

12. Peers dan Kedudukan di Pasaran

Oriental Kopi hanya memegang market share kecil, kurang daripada 1%, dalam pasaran restoran, kafe, dan runcit makanan berjenama. Namun, kekuatan mereka pada margin keuntungan bersih yang tinggi (15.6%) menunjukkan kemampuan mengurus kos dan menjana keuntungan. Dengan pasaran yang luas (RM79.4 bilion untuk kafe dan restoran), terdapat potensi besar untuk Oriental Kopi meningkatkan kedudukan jika mereka berjaya memperluaskan footprint pasaran secara strategik.

12.1 Industri Pemain Utama:

  • Dalam senarai pemain utama industri F&B tempatan, Oriental Kopi Group menduduki tangga ke-4 dengan pendapatan FY2024 sebanyak RM277.3 juta, di belakang Starbucks (RM1.009 bilion), OldTown (RM582.8 juta), dan Coffee Bean & Tea Leaf (RM292.3 juta).
  • Oriental Kopi menonjol kerana margin keuntungan bersih (NP Margin) sebanyak 15.6%, yang lebih tinggi daripada purata industri (6.8%).

12.2 Analisis Pasaran dan Saiz:

  • Dalam sektor restoran dan kafe, Oriental Kopi hanya memiliki market share kurang daripada 1%, berbanding jumlah saiz pasaran bernilai RM79.4 bilion pada 2023.
  • Dalam segmen pengedaran dan runcit, Oriental Kopi mencatat pendapatan RM2 juta, yang hanya merangkumi market share <1%.

12.3 Bandingan Margin:

  • Margin gross profit (GP) Oriental Kopi: 29.9%, lebih rendah berbanding pesaing seperti Dome (73.4%) dan Hometown Hainan Coffee (66.5%).
  • Margin net profit (NP): 15.6%, menunjukkan kekuatan struktur kos mereka yang lebih baik berbanding pemain lain.

12.4 Halangan Pasaran:

  • Halangan tinggi: Terdapat 27,448 premis F&B berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2023, menunjukkan persaingan tinggi dalam pasaran.
  • Syarat Halal JAKIM: Pensijilan Halal memberikan kelebihan kompetitif kerana memanfaatkan pelanggan Muslim. Namun, ini juga meningkatkan kos pematuhan.
  • Keperluan pelaburan: Kos awal tinggi seperti lokasi sesuai, renovasi, dan peralatan dapur menjadi penghalang kepada pemain baharu.

13. Pengurusan dan Leadership

Pengasas: Dato’ Chan Jian Chern

  • Latar Belakang: Pengasas dan Pengarah Urusan Oriental Kopi, Dato’ Chan Jian Chern, memainkan peranan penting dalam membangunkan syarikat dari awal. Pernah mengasaskan jenama teh boba Black Whale pada tahun 2018 sebelum mengalihkan perhatiannya kepada Oriental Kopi pada 2021.
  • Pencapaian:
    • Dinobatkan sebagai Top Entrepreneur dalam Malaysia Top 20 Young Entrepreneur Awards 2016.
    • Menerima Honoree for Business, Economic and Entrepreneurial Accomplishment dalam 2020 JCI Ten Outstanding Young Malaysians Award.

Ketua Chef: Ho Poh Chian

  • Latar Belakang: Chef Ho, yang berusia 46 tahun, membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan, termasuk mengurus dapur di restoran terkenal di Malaysia dan Singapura.
  • Tanggungjawab: Bertanggungjawab terhadap standard operasi dapur, kualiti bahan masakan, dan pembangunan menu untuk Oriental Kopi.

Lembaga Pengarah

  • Komposisi: Lembaga pengarah terdiri daripada individu yang berkaliber tinggi dengan kepelbagaian pengalaman dalam industri perniagaan, perundangan, dan keselamatan.
    • Tengku Hishammuddin Zaizi (Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif): Pakar dalam strategi korporat dan kepimpinan, serta aktif dalam aktiviti sosial dan alam sekitar.
    • Datuk Christopher Wan Soo Kee (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif): Berpengalaman dalam keselamatan dan pengurusan risiko, termasuk kerjaya cemerlang sebagai bekas Ketua Polis Negara.
    • Datin Gan Kok Ling (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif): Pakar dalam kewangan dan perundangan dengan pengalaman lebih dua dekad dalam urusan korporat dan pasaran modal.
    • Wong Pai Sent (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif): Berpengalaman dalam perkhidmatan perundingan kewangan dan pelaburan, termasuk peranan penting di syarikat ekuiti persendirian kerajaan.

14. Gambaran Industri

Permintaan untuk produk F&B di Malaysia terus meningkat. Pada tahun 2025, perbelanjaan isi rumah untuk makanan dijangka meningkat sebanyak 5.9% berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kenaikan pendapatan boleh guna rakyat Malaysia. Permintaan juga dipacu oleh perubahan gaya hidup di mana lebih ramai pengguna memilih makan di luar atau memesan penghantaran makanan, terutamanya di kawasan bandar.

Namun, permintaan ini juga bergantung pada sensitiviti harga, kerana inflasi makanan (dijangka berada antara 2.0% hingga 3.5% pada 2025) boleh mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna.

Faktor-Faktor Mempengaruhi Permintaan

  1. Keadaan Ekonomi:
    • Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka antara 4.5% hingga 5.5% pada 2025 akan memberi kesan langsung kepada kuasa beli rakyat dan perbelanjaan mereka untuk makanan dan minuman.
  2. Peningkatan pendapatan & inflasi rendah:
    • Peningkatan pendapatan seisi rumah yang dijangka meningkat sebanyak 5.9% pada 2025 (berbanding 5.5% pada 2024) di samping inflasi rendah antara 2.0% hingga 3.5% pada 2025, dijangka akan menyokong pertumbuhan perbelanjaan dalam segmen F&B.
  3. Pemulihan Pelancongan:
    • Dengan sasaran 27.3 juta pelancong dan pendapatan pelancongan sebanyak RM102.7 bilion pada 2024, pelancongan akan terus menjadi antara penyumbang besar kepada permintaan untuk restoran, kafe, dan perkhidmatan katering.
  4. Dasar Kerajaan:
    • Dasar seperti rasionalisasi subsidi makanan dan bahan api mungkin mempengaruhi kos operasi, dan seterusnya harga kepada pengguna.
  5. Perubahan Gaya Hidup:
    • Keutamaan pengguna terhadap kesihatan, makanan segera, dan perkhidmatan penghantaran telah mengubah corak permintaan.

Sebab untuk beli

  • Pertumbuhan Kewangan Kukuh: CAGR hasil sebanyak 280.89% dan keuntungan bersih yang meningkat secara konsisten.
  • Pasukan Pengurusan Berpengalaman: Dipimpin oleh pengasas dan lembaga pengarah yang kompeten.
  • Pengembangan Strategik: Perancangan IPO yang fokus pada pertumbuhan, termasuk pembukaan cawangan baharu dan pelaburan dalam R&D.
  • Margin Keuntungan Bersih yang Tinggi: 15.6%, melebihi purata industri, mencerminkan kecekapan operasi.
  • Peluang Pasaran: Didukung oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pemulihan pelancongan.

Sebab untuk tunggu

  • Risiko Pasaran Kompetitif: Berhadapan dengan jenama besar seperti Starbucks dan OldTown yang sudah mapan.
  • Pergantungan pada Pembekal Pihak Ketiga: Risiko gangguan bekalan bahan mentah.
  • Kos Inflasi: Bahan mentah seperti gula dan gandum yang harganya dikawal selia mungkin memberi tekanan pada margin keuntungan.
  • Kebergantungan pada Lokasi: Cawangan di pusat membeli-belah terdedah kepada risiko turun naik trafik pelanggan.
  • Pengalaman Operasi yang Relatif Baru: Operasi syarikat baru bermula pada 2020, dengan rekod prestasi yang masih pendek.
Share the Post: