Kata orang untuk berjaya perlu lihat kepada apa yang dilakukan oleh orang yang berjaya. Begitu juga dengan tabiat orang kaya yang boleh kita ambil nilai. Semua orang mahu menjadi kaya agar mampu mencapai status bebas kewangan sekaligus membantu para keluarga serta mereka yang dalam kesusahan.
Pada kali ini, kami kongsikan kepada beberapa rahsia yang dikongsikan oleh Thomas C. Corley selaku pelabur berjaya menjadi strategi dan langkah-langkah yang dibuat oleh orang-orang kaya mengenai tindakan mereka mengurus dan melabur duit mereka.
- Elakkan wang anda terbiar begitu sahaja
Seperti ramai sedia maklum, membiarkan wang anda tanpa diusahakan seolah merugikan diri anda sendiri. Hal ini kerana setiap tahun wang fiat akan mengalami inflasi yang secara tidak langsung mengurangkan nilai wang yang disimpan.
Lebih baik sekiranya anda meletakkan wang tersebut di beberapa instrumen pelaburan yang menawarkan kadar dividen yang tinggi agar dapat melawan kenaikan inflasi. Buat warga bumiputera, melabur di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) antara pilihan yang boleh dilakukan dalam meraih jumlah dividen yang berpatutan di samping mengelakkan daripada terkesan dengan jumlah kerugian yang besar disebabkan pelaburan yang salah.
Baca: Senarai Pelaburan Yang Selamat Di Malaysia
- Hidup dibawah kemampuan
Seakan bukan rahsia lagi golongan yang kaya seringkali hidup di bawah kemampuan. Malah, tokoh-tokoh berpengaruh dunia seperti Steve Jobs dan Mark Zuckerberg dilaporkan sekadar selesa dengan kereta-kereta biasa kepunyaan mereka tanpa perlu mengejar kemewahan.
Tambahan, budaya ‘reward diri’ melampau berkemungkinan besar memberi kesan melambatkan anda untuk mencapai status bebas kewangan. Tidak ada salahnya sekiranya sekali sekala untuk anda menggembirakan hati anda, namun berpada-pada dalam berbelanja.
- Memantau pendapatan dan perbelanjaan
Dinasihatkan agar anda lebih berhati-hati dalam perbelanjaan. Dengan ini, anda dapat menyemak aliran wang anda setiap bulan. Lambakan aplikasi tersedia pada ketika ini pastinya bakal memudahkan anda memantau perbelanjaan dengan mudah.
- Menetapkan matlamat hidup serta perancangan kewangan
Setiap individu pastinya mempunyai matlamat penting mahu dicapai. Terdapat individu sekadar mahu menghabiskan hutang sedia dan terdapat juga individu berniat memiliki rumah impiannya secara tunai.
Pastikan target tersebut adalah realistik dan tidak membebankan anda secara keterlaluan. Tetapkan perancangan kewangan anda seperti jumlah yang anda perlukan untuk bersara dan sebagainya dan fokus kepada target tersebut.
Baca: Senarai Cara Trade Saham Di Malaysia
- Elakkan membayar jumlah faedah yang tinggi
Seperti ramai sedia maklum, terdapat tawaran pinjaman mengenakan jumlah faedah yang tinggi khususnya pinjaman peribadi. Asbab itu, dinasihatkan anda mengelakkan diri daripada terjebak dengan jumlah pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi kerana impaknya sangat besar pada masa hadapan.
Walaubagaimanapun, anda mempunyai pilihan untuk membuat pinjaman sekiranya mampu membayarnya secara ansuran dengan selesa dan tidak terbeban. Tambahan pula, pembelian barangan secara tunai adalah langkah yang lebih berbaloi berbanding berhutang.
6. Mendapatkan nasihat daripada perunding kewangan
Sekiranya anda mempunyai peluang, dinasihatkan supaya bertemu dengan perunding kewangan agar anda dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai segalanya tentang profile kewangan yang sesuai dengan kondisi diri.
Data dan informasi yang ditawarkan oleh mereka yang bertauliah pastinya membantu anda dalam merancang kewangan anda. Salah satu cara lain yang boleh anda lakukan adalah kerap membaca ilmu kewangan yang sering dikongsikan oleh mereka yang bertauliah di media sosial. Melalui cara ini, anda mampu untuk mengetahui langkah yang perlu dilakukan agar dapat turut berada dalam kelompok yang diidamkan.
7. Menggunakan insurans dengan bijak
Meskipun terpaksa mengeluarkan bajet bulanan bagi insurans, perkara ini sangat membantu membolehkan anda dirawat di hospital yang selesa. Paling penting, perbelanjaan hospital yang tinggi akan ditanggung oleh pihak insurans.
Oh ya, perbelanjaan kepada insurans turut membantu anda untuk mengurangkan pembayaran cukai. Berbaloi bukan?
8. Melabur secara konsisten
Salah satu tabiat orang kaya adalah melabur secara konsisten. Dalam erti kata lain, pelaburan yang dibuat tidak hanya dilakukan sewaktu meraih wang yang lebih atau bonus, sebaliknya mengasingkan sebahagian kecil daripada pendapatan bulan ke instrumen pelaburan.
Baca: Kupasan tentang Saham IPO
9. Memahami bagaimana cukai berfungsi serta cara untuk kurangkannya
Salah satu tabiat orang kaya adalah memahami asas cukai dan mereka akan cuba mengurangkan pembayaran cukai tahunan. Contohnya, pembelian buku bukan sahaja mampu mengurangkan pembayaran cukai malah mampu meningkatkan ilmu berguna buat diri.
Selain itu, perbelanjaan seperti barangan sukan juga dapat mengurangkan cukai di samping mampu membuatkan anda kekal produktif dan sihat.
10. Memastikan wang bekerja untuk mereka
Orang kaya sentiasa meletakkan jumlah wang mereka di tempat yang menawarkan pulangan yang tinggi. Hal ini dapat diterapkan dalam bentuk pelaburan atau perkembangan syarikat secara tidak langsung dapat meningkatkan pengaliran wang dalam bisnes yang diusahakan.
Berikut merupakan rahsia mengenai tabiat orang kaya. Meskipun terdapat tip yang dilihat ringkas, kebolehan untuk kekal disiplin dan konsisten antara yang membantu anda untuk menjadi pelabur yang berjaya sekaligus berjaya bebas kewangan seperti yang diidamkan.
Selamat mencuba!