Kami menyelidik semua jenama yang disenaraikan dan mungkin mendapat bayaran daripada rakan kongsi kami. Pertimbangan penyelidikan dan kewangan mungkin mempengaruhi cara jenama dipaparkan. Tidak semua jenama disertakan

Kenapa Saham YTL Susut Lebih 20%

Dalam masa hanya lima hari, saham YTL Corp dan YTL Power masing-masing kehilangan lebih 20% nilai pasaran mereka. Pada 23 Januari 2025, harga saham YTL Corp berada pada RM2.41, tetapi menjunam ke RM1.90 ketika Bursa Malaysia ditutup pada 28 Januari 2025 (susut 21.16%). Saham YTL Power pula jatuh lebih teruk, daripada RM4.10 kepada RM3.11 dalam tempoh yang sama (susut 24.15%).

chart saham YTL Corp (28 Jan 2024)

chart YTL Power (28 Jan 2025)

Apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejatuhan mendadak ini?

Kejatuhan harga dua saham YTL ini bukanlah sekadar fenomena biasa dalam pasaran saham. Ia bertitik tolak daripada pengumuman YTL Corp pada 23 Januari 2025, apabila syarikat itu mengumumkan rancangan untuk memberi waran percuma kepada pemegang saham.

Pengumuman ini kelihatan seperti berita positif, tetapi reaksi pasaran tidak begitu memberangsangkan, dengan pelabur mula menjual saham mereka secara besar-besaran selepas pengumuman tersebut.

Adakah ini kesan daripada pelan waran YTL? Atau ada faktor lain?

Dalam artikel ini, kita akan membedah apa yang berlaku.

Apa itu waran?

Waran ialah sejenis instrumen kewangan yang memberi hak (tetapi bukan kewajipan) kepada pemegang untuk membeli saham syarikat pada harga tertentu (harga exercise) dalam tempoh masa tertentu.

Contoh mudah:

Bayangkan anda pegang waran syarikat XYZ dengan harga exercise RM2. Jika harga pasaran saham XYZ naik ke RM4, anda boleh gunakan waran itu untuk membeli saham pada harga RM2 dan menjualnya pada harga RM4. Untung bersih anda ialah RM2 setiap saham.

Namun, jika harga saham XYZ jatuh di bawah harga exercise (contohnya, RM1.50), waran tersebut mungkin tidak bernilai, kerana anda takkan gunakan hak beli saham pada harga RM2 bila harga pasaran lebih murah.

Apa beza waran dengan saham?

Hak Milik

  • Saham biasa: Anda adalah pemilik sebahagian syarikat dan mempunyai hak mengundi dalam keputusan penting syarikat.
  • Waran: Ia hanya memberi hak untuk membeli saham pada masa depan, tetapi anda bukan pemilik saham sehingga waran ditukar (exercise).

Dividen

  • Saham biasa: Layak menerima dividen jika syarikat mengisytiharkan pembayaran dividen.
  • Waran: Tidak layak menerima dividen kerana waran bukan saham sebenar.

Harga Exercise

  • Waran datang dengan harga exercise. Kalau harga pasaran saham lebih tinggi daripada harga exercise, waran tersebut boleh menghasilkan keuntungan.
  • Tapi, jika harga saham jatuh di bawah harga exercise, waran jadi tidak relevan untuk digunakan.

Kenapa keluarkan waran?

Syarikat biasanya mengeluarkan waran untuk:

  1. Kumpul Modal Tambahan:
    Waran memberikan syarikat peluang untuk mendapatkan dana besar tanpa segera meminta pemegang saham mengeluarkan wang.
  2. Beri fleksibiliti untuk Pelabur:
    Pemegang waran ada pilihan sama ada mahu exercise (tukar waran jadi saham) atau tidak, bergantung kepada prestasi harga saham.
  3. Kurang Tekanan Jangka Pendek:
    Tidak seperti “rights issue,” pemegang waran tak perlu serta-merta keluarkan modal kerana waran mempunyai tempoh exercise yang telah ditetapkan. Sebagai contoh waran YTL mempunyai tempoh 3 tahun. Jadi pemegang waran YTL boleh exercise waran mereka pada bila-bila masa dalam tempoh 3 tahun tersebut.

Apa yang berlaku?

Pengumuman waran bonus

Pada 23 Januari 2025, YTL Corp dan YTL Power mengumumkan pelan untuk mengeluarkan waran percuma kepada pemegang saham sedia ada. Pelan ini bertujuan memberikan:

  • Nisbah pemberian: 1 waran percuma untuk setiap 5 saham yang dimiliki.
    Contohnya, jika anda memiliki 10 saham YTL Corp, anda akan menerima 2 waran percuma.
  • Harga exercise:
    • RM1.50 untuk YTL Corp.
    • RM2.45 untuk YTL Power.
  • Tempoh sah: 3 tahun untuk pemegang menggunakan atau menukar waran mereka kepada saham biasa.

Kenapa YTL keluarkan waran?

Tujuan utama mereka adalah untuk mengumpulkan modal tambahan bagi membiayai pelbagai projek besar:

  1. YTL Power:
    • Dana sebanyak RM2.2 bilion diperlukan untuk pelaburan besar dalam data centre – sektor teknologi yang kini menjadi tumpuan global.
    • Sebahagian dana akan disalurkan kepada Ranhill Berhad, syarikat yang baru diambil alih oleh YTL, sebagai suntikan modal.
  2. YTL Corp:
    • Dana sebanyak RM3.4 bilion dirancang untuk meningkatkan pegangan syarikat dalam YTL Power, melangsaikan hutang, dan pelaburan strategik lain.

Namun, pengumuman ini datang dengan risiko utama: dilusi saham.

Apa itu dilusi saham?

Dilusi berlaku apabila jumlah saham sesebuah syarikat bertambah, tetapi nilai keuntungan syarikat (earnings) kekal sama. Akibatnya:

  • Pemegang saham sedia ada akan melihat pegangan mereka dalam syarikat menjadi ‘lebih kecil’.
  • Contoh mudah:
    • Syarikat asalnya ada 100 saham. Jika anda pegang 10 saham, anda pemilik 10% syarikat.
    • Selepas syarikat tambah lagi 100 saham (melalui waran), jumlah saham jadi 200. Anda masih pegang 10 saham, tapi kini hanya memiliki 5% syarikat.

Kesan pada EPS (Pendapatan Per Saham)

EPS ialah keuntungan syarikat yang dibahagikan kepada jumlah saham.

Bila saham bertambah (akibat waran yang ditukar menjadi saham), EPS akan turun kerana keuntungan sama, tetapi saham yang membahagikan keuntungan bertambah.

Ini biasanya menyebabkan harga saham turun kerana pelabur melihat nilai per saham jadi kurang menarik.

Kesan dilusi inilah yang menjadi salah satu punca utama kenapa pasaran bertindak negatif terhadap pengumuman YTL ini. Pelabur risau, walaupun modal baru dikumpulkan, jangka pendek EPS mungkin terjejas sehingga projek besar yang dirancang mula menunjukkan hasil.

Kenapa pelabur YTL memberi reaksi negatif?

1. Dilusi EPS

Dilusi saham juga menjadi punca besar kenapa pasaran bertindak balas negatif. Apabila jumlah saham dalam YTL Corp dan YTL Power bertambah sebanyak 20% selepas waran ditukar, ini memberi kesan langsung kepada pendapatan per saham (EPS):

  • Keuntungan syarikat perlu dibahagikan kepada lebih banyak saham, menyebabkan EPS jatuh dalam jangka pendek.
  • Pelabur jangka pendek biasanya sensitif terhadap EPS yang menurun kerana ia sering dilihat sebagai ukuran nilai syarikat.

Bagi pelabur jangka pendek atau institusi yang memegang saham YTL, prospek dilusi ini cukup untuk mereka mula melepaskan pegangan saham bagi mengelakkan risiko penurunan harga yang lebih dalam.

2. Kesan waran yang ‘non-tradeable’

Salah satu sebab utama pasaran memberikan reaksi negatif terhadap pengumuman ini adalah kerana waran yang diterbitkan oleh YTL Corp dan YTL Power adalah “non-tradeable”.

Apa maksudnya?

Waran ini tidak boleh dijual beli di pasaran saham seperti waran biasa. Pemegang waran hanya ada dua pilihan:

    1. Pegang waran sehingga tamat tempoh.
    2. Exercise waran untuk menukar kepada saham biasa dengan harga exercise.

Bagi pelabur, ini mengurangkan liquidity – bermaksud mereka tidak boleh menjual waran untuk mendapatkan keuntungan segera. Mereka juga perlu keluarkan modal tambahan untuk exercise waran pada masa hadapan.

Hasilnya, ramai pelabur melihat waran ini kurang menarik dan memilih untuk menjual saham mereka bagi mengelakkan risiko dilusi dan kos tambahan pada masa akan datang.

3. Faktor Sentimen Global

Selain isu dalaman, terdapat juga faktor luaran yang menambah tekanan kepada saham YTL:

Sentimen Negatif Sektor AI & Teknologi:

  • Baru-baru ini, berita tentang teknologi Deepseek dari China mencetuskan kebimbangan dalam sektor teknologi global. Deepseek mampu mengurangkan kebergantungan kepada cip Nvidia, yang menjadi asas bagi banyak projek data centre.
  • Ini memberi tekanan kepada syarikat-syarikat yang bergantung kepada infrastruktur AI tradisional, termasuk YTL Power yang sedang melabur besar dalam pembangunan data centre.

Kejatuhan Pasaran Secara Keseluruhan:

  • Ketidaktentuan ekonomi global, seperti kenaikan kadar faedah dan sentimen lemah pada pasaran saham, mungkin menambah tekanan kepada YTL.
  • Saham yang terkesan dengan isu dalaman seperti dilusi sering menjadi mangsa tambahan apabila pelabur cuba mengurangkan risiko dalam portfolio mereka.

Kesimpulannya, gabungan kesan non-tradeable warrants, dilusi EPS, dan sentimen pasaran yang negatif menyebabkan pelabur memilih untuk menjual saham YTL Corp dan YTL Power dalam jumlah besar. Kejatuhan lebih 20% ini menunjukkan reaksi pasaran yang skeptikal terhadap strategi YTL dalam jangka pendek.

Logik di sebalik tindakan YTL

Walaupun YTL Corp dan YTL Power sedar bahawa pengeluaran waran ini akan menyebabkan dilusi saham dan kemungkinan penurunan EPS dalam jangka pendek, langkah ini tidak dibuat tanpa sebab. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang yang lebih besar untuk memacu pertumbuhan syarikat.

YTL sedang bertaruh pada “high risk, high reward” – strategi yang berpotensi memberikan ganjaran besar kepada pelabur jangka panjang sekiranya projek mereka berjaya. Berikut adalah peluang yang boleh wujud:

  • Pulangan Pelaburan Tinggi: Jika projek data centre dan pelaburan lain mula menjana keuntungan, pendapatan syarikat bukan sahaja akan pulih, tetapi mungkin lebih tinggi daripada sebelum ini.
  • Harga Saham Rendah Sebagai Peluang Beli: Kejatuhan harga saham lebih 20% baru-baru ini mungkin menjadi peluang untuk pelabur jangka panjang yang yakin dengan keupayaan YTL untuk melaksanakan pelan strategik mereka. ‘Buy when everybody is selling’ ialah prinsip pelabur jangka masa panjang.

Langkah ini menunjukkan bahawa YTL mengambil pertaruhan besar dengan harapan ia akan membuahkan hasil dalam jangka panjang. Bagi pelabur yang percaya pada potensi YTL, kejatuhan harga saham baru-baru ini mungkin peluang untuk masuk. Namun, seperti mana-mana strategi, kejayaan ini bergantung pada sejauh mana YTL dapat melaksanakan projek mereka dengan cekap dan mengatasi cabaran ekonomi global. 😊

Baca juga: Saham Oriental Kopi Cemerlang Hari Pertama Bursa Malaysia

Share the Post: